Perkataan insurans asalnya bermaksud suatu kumpulan yang membuat kutu bagi meringankan beban kewangan individu dan menghindari kesulitan perbelanjaan (Muslehuddin, 1988). Menurut Kamus Dewan pula, insurans ialah perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesebuah syarikat untuk menggantikan kerugian seseorang dengan bayaran premium tertentu. di dalam Bahasa arab, perkataan insurans disebut sebagai at-ta’min yang berasal daripada perkataan ‘aman’ iaitu aman dan menghindar ketakutan (Al-Bakri, 2017).
Menurut irsyad al-fatwa, insurans dari segi istilah ialah satu perjanjian yang bermaksud “akad yang melazimkan sesuatu kepada al-muammin (syarikat insurans) berperanan untuk menunaikan sesuatu kepada al-muamman lahu (pemegang polisi) atau kepada al-mustafid (pengambil faedah) yang telah disyaratkan iaitu, mablagh minal mal (sejumlah pampasan) atau sesuatu yang dipersetujui antara syarikat dan pemegang polisi sewaktu berlakunya musibah atau kemalangan seperti yang diterangkan dalam akad sedangkan pemegang polisi pula perlu membayar premium yang telah ditetapkan kepada syarikat insurans”.
Insurans dan takaful membawa maksud yang sama iaitu memberikan perlindungan. Di Malaysia kedua-dua istilah ini diguna pakai dalam situasi yang berbeza dimana insurans adalah syarikat yang tidak mengikut prinsip mu’amalah Islam manakala takaful pula adalah sebaliknya. Namun demikian di negara-negara timur tengah, mereka masih mengekalkan perkataan at-ta’min. Cuma yang mengikut prinsip mu’amalah Islam disebut sebagai al-ta’min al-islami.