Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sentiasa terdedah kepada risiko berlakunya musibah dan malapetaka. Pengurusan risiko adalah satu langkah atau usaha berhadapan dengannya. Ia bukan bermaksud melawan takdir atau tidak menerima qada’ dan qadar yang telah ditentukan. Malah, ia juga merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama berdasarkan firman Allah :
…وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ …
“…dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya…”
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa manusia pada zaman ini memerlukan insurans sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi risiko atau musibah yang mungkin akan berlaku. Jika dilihat kepada falsafah insurans yang dibina atas dasar mengurus dan menjamin risiko kepada pencarum, ia tidak bertentangan dengan konsep Islam yang sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan dan saling bantu-membantu. Walaupun begitu, niat yang baik sahaja tidak menjamin ianya akan diterima oleh Islam sebagai sesuatu yang baik seperti kata orang “niat yang baik tidak menghalalkan cara”.
Walaupun insurans kenvensional dan takaful Islam terlibat dalam satu jenis perniagaan yang sama iaitu menyediakan pelindungan dan mengurus risiko pencarum,tetapi kedua-duanya beroperasi dari perspektif yang berbeza.