Takaful merupakan kata pinjaman daripada Bahasa Arab dari kata dasar bagi perkataan كفل yang bermaksud menjamin, menjaga atau memelihara. Manakala perkataan `takaful` itu pula memberi maksud saling menjamin atau saling memelihara. Takaful dari istilah boleh diertikan sebagai satu pakatan yang bersetuju untuk saling membantu dan manjamin satu sama lain apabila ditimpa musibah atau kerugian.

  Seksyen 2 Akta Takaful 1984 menjelaskan konsep takaful sebagai satu skim berdasarkan persaudaraan, perpaduan dan saling bantu-membantu yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan bersama kepada peserta pada waktu yang diperlukan di mana peserta bersama-sama bersetuju untuk menyumbang kepada tujuan tersebut. Seksyen dua ini menjelaskan perniagaan takaful sebagai perniagaan yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh syarak.

Berdasarkan definisi yang telah diberikan, kita boleh faham bahawa takaful itu mempunyai prinsip kerjasama, tolong menolong dan tanggungjawab bersama yang merupakan suatu tuntutan dalam Islam. firman Allah :

…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

(surah al-maidah : 2)

Maksudnya : “dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan”

Takaful ialah satu pelan insurans yang memiliki ciri patuh Shariah. Ini bermaksud di bawah Takaful, terdapat banyak produk patuh Shariah yang lain seperti Takaful perubatan, Takaful kenderaan, dan banyak lagi. Istilah Takaful juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berasaskan kerjasama bersama, dimana segala risiko dan dana dikongsi bersama. Bantuan kewangan juga disediakan dibawah Takaful yang dikenali sebagai Tabarru’ (sedekah) dengan dana yang disumbang oleh individu dibawah perlindungan Takaful.

Leave a comment